Kamis, 13 Oktober 2011

Ma’rifatullah

MUQADDIMAH

Sesungguhnya kewajiban yang mula-mula sekali atas setiap manusia ialah mengenal akan Allah swt atas dasar ilmu. (Muhammad 47:19) Kemudian mengetahui akan Rasulullah saw dan membenarkan risalah nya atas dasar pengetahuan yang yakin tanpa keraguan. (Ar Ra'd 13:19) Selanjutnya wajib atas manusia mengetahui akan Diennya yang telah diperintahkan oleh Allah swt untuk mengikuti dengan penuh ketaatan dan menolak selainnya, sebab dengan penolakkan itu menjadi syarat seseorang dapat beribadah kepada Allah dengan betul dan benar. (Al An'am 6:153)

Orang yang paling tinggi darjatnya ialah orang yang berilmu dan beriman. Dan ilmu itu mestilah dengan mencari dan mendapatkan maklumat yang lengkap dan sempurna. Dan pokok dasar ilmu itu ialah Ma'rifatullah (Mengenal Allah), Ma'rifaturrasul (Mengenal Rasul) dan Ma'rifatu Dienil Islam (Mengenal Dienul Islam). Inilah sepenting penting kewajiban yang mesti diketahui oleh setiap Insan, sebab seseorang itu apabila dia melakukan amal ibadah tanpa didasari atas ma'rifat kepada Allah swt maka sia-sialah seluruh aktiviti (kegiatan) kehidupannya. (Al Furqan 25:22-23)

Seseorang telah datang menanyakan sesuatu persoalan kepada Rasulullah saw. Katanya: Wahai Rasulullah, apakah amalan yang paling afdhal (utama)? Beliau menjawab: Ilmu Tentang Allah Azaa wa Jalla. Orang itu bertanya lagi, Ilmu apakah yang tuan maksudkan? Beliau menjawab: Ilmu Tentang Allah Yang Maha Suci. Maka orang itu bertanya lagi, kami tanyakan tentang amal yang paling utama, sedang tuan menjawab Ilmu. Beliau menjawab: sesungguhnya sedikit amal dengan berma'rifatullah akan bermanfaat, sebaliknya banyak amal sekalipun, tetapi jahil tentang Allah tidak ada manfaatnya. (Dikeluarkan oleh Ibnu Abdul Bar)

Ma'rifatullah atau mengenal Allah Azza wa Jalla. adalah ilmu yang paling asas, kedudukannya dalam Islam sangat penting, tinggi dan mulia. Ini kerana Ia merupakan asas dibangunkan segala amal dalam kehidupan. Dari sanalah dibangun Ma'rifaturrasul dan Ma'rifatu Dienil Islam secara utuh.


CARA MA’RIFATULLAH

Apabila manusia menggunakan akal fikirannya sedikit saja, ia akan mendapati dan menemukan bahawa Allah lah yang telah menciptakan alam semesta termasuk manusia dan memberikan baginya alat-alat terpenting untuk mengenal dan mengetahui segala macam Ilmu Dien dan Ilmu Dunia, dan tidak mungkin bagi seorang itu memperoleh ilmu sedikitpun melainkan dengan alat-alat tersebut iaitu pendengaran, penglihatan dan hati. (An Nahl 16:78)

Tanpa manusia mengenal penciptanya. tidaklah ia mengikuti petunjuk Nya yang akan membawanya kepada kebahagiaan hidup dunia dan akhirat, sebaliknya ia akan menjadi orang-orang yang rugi. Oleh kerana itu maka kewajiban manusia yang pertama ialah mengenal Allah swt. Metod untuk Ma’rifatullah ialah dengan Petunjuk Dienul Islam dan dibantu pula dengan Ma’rifatullah menggunakan Petunjuk Akal Fikiran.


MA’RIFATULLAH DENGAN PETUNJUK DIENUL ISLAM

Melalui Petunjuk Dienul Islam, terdapat tiga kaedah untuk Ma’rifatullah atau Mengenal Allah iaitu dengan Ma’rifah Fie Rububiyyatihi iaitu Mengenal Allah melalui Rububiyyah Nya, Ma’rifah Fie Asmaihi Wa Sifatihi iaitu Mengenal Allah melalui Asma’ (nama) dan Sifat Nya dan Ma’rifah Fie Uluhiyyatihi iaitu Mengenal Allah melalui Uluhiyyah Nya.


MA’RIFATULLAH MELALUI RUBUBIYYAH NYA

Maksudnya ialah berma'rifah bahawa Allah adalah Rabb semesta alam, Pencipta segala makhluk, Pemiliknya, Pengatur, Pemberi Rezeki dan Dialah yang telah mengajar dan mendidik para Nabi, Rasul dan pengikutnya diatas aqidah yang benar, akhlaq yang terpuji, ilmu yang bermanfaat dan amal yang soleh. (Al Fatihah 1:2; Az Zumar 39:62; Ali Imran 3:189; Ar Ra’d 13:2; Al Ankabut 29:60; Ar Rahman 55:1-4)


MA’RIFATULLAH MELALUI ASMA’ DAN SIFAT NYA

Iaitu berma'rifah bahawa Allah mempunyai nama-nama yang agung dan sifat-sifat yang tinggi yang Dia beritahukan melalui lisan Rasul Nya (Al Quran dan As Sunnah). Al Asmaul Husna tidaklah terbatas kepada yang termaktub di dalam Al Quran dan As Sunnah.

Rasulullah saw bersabda:
Tidaklah seseorang ditimpa keresahan (kecemasan) dan kesedihan kemudian dia berkata, Ya Allah, sesungguhnya aku adalah hamba Mu, anak dari hamba Mu (lelaki) dan anak dari hamba Mu (perempuan), ubun-ubunku ada di tangan Mu, hukum Mu berjalan padaku, Keputusan Mu adil bagiku, aku meminta kepada Mu dengan (berwasilahkan) semua nama yang Engkau miliki, Engkau namakan diri Mu dengannya, atau yang Engkau turunkan dalam kitab Mu atau yang Engkau ajarkan kepada salah satu dari makhluk Mu, atau yang Engkau simpan dalam ilmu ghaib di sisi Mu, agar Engkau jadikan Al Quran yang agung sebagai petunjuk hatiku, cahaya kalbuku, penghapus kesedihanku dan penghilang kegelisahanku, kecuali Allah akan menghapus kesedihan dan keresahannya dan menggantikannya dengan kelapangan. (Hadis Riwayat Ahmad bin Hambal)

Nama-nama Allah, sifat-sifat Nya serta zat Nya, tidaklah sama dengan nama, sifat dan zat makhluk Nya. (As Syura 42:11; Al A’raf 7:180)
Diantara beberapa Al Asmaul Husna dan sifat-sifat Allah termaktub dalam ayat dan hadis berikut: (Al Hasyr 59:23-24; As Sajadah 32:4)

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah ra katanya: Sesungguhnya Rasulullah saw bersabda: Allah tersenyum terhadap dua orang lelaki, salah seorang darinya membunuh yang seorang lagi namun kedua-duanya dimasukkan ke dalam Syurga. Para Sahabat bertanya: Bagaimana boleh terjadi begitu wahai Rasulullah? Baginda bersabda: Seseorang yang ikut berperang pada jalan Allah lalu beliau mati syahid, kemudian orang yang membunuh tadi telah bertaubat dan Allah telah menerima taubatnya. Setelah memeluk Islam beliau juga turut keluar berperang pada jalan Allah, kemudian beliau juga mati syahid.


MA’RIFATULLAH MELALUI ULUHIYYATIHI

Iaitu berma'rifah bahawa Allah sahajalah yang berhak atas penghambaan dan peribadatan daripada keseluruhan makhluk Nya. Keesaan Allah didalam kesempurnaan Al Asmaul Husna, sifat-sifat Nya dan Rububiyyah Nya menuntut ‘Tiada yang berhaq diibadahi selain Dia’. Segala makhluk harus memurnikan ibadah hanya kepada Allah sahaja. (Al An’am 6:101; Az Zariyat 51:56; Al Hijr 15:99; Yusuf 12:40,67)


MA’RIFATULLAH DENGAN PETUNJUK AKAL FIKIRAN

Kaedah Pertama: Sesuatu yang tidak ada, tidak mungkin mencipta sesuatu. Sesuatu yang tidak wujud (ada) baginya, tiadalah dapat ia menciptakan/ menjadikan sesuatu kerana ia tidak wujud (ada). Padahal apabila kita fikirkan makhluk yang lahir dari bangsa manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan, dan jelasnya mereka semuanya wujud di alam nyata. Juga seperti angin, hujan, malam dan siang, dan kita lihat benda-benda yang bergerak, berputar, beredar dalam satu aturan yang tertib dan rapi. Dan cuba kita arahkan pandangan kepada planet matahari, bulan, bintang-bintang dan sebagainya dalam sistem Bima Sakti, maka jangkauan akal menetapkan bahawa semua itu bukan dicipta oleh sesuatu yang tidak wujud, sesungguhnya dia berasal dari ciptaan yang Maha Pencipta yang wujud dalam semesta ini (At-Tur 52:35-36).

Kaedah kedua: Segala sesuatu yang tercipta menunjukkan sebagai sifat pembuat (pencipta). Sesungguhnya segala yang didapati di alam yang wujud menunjukan atas adanya kuasa atau sifat-sifat pembuat (Penciptanya). Sebagaimana tidaklah mungkin wujud sesuatu jika penciptanya tidak mempunyai kekuasaaan atau sifat yang boleh menjadikan sesuatu. Maka dalam kaedah ini kita mendapatkan sesuatu hukum teori Sebab-Akibat yang beerti bahawa adanya sesuatu menunjukkan sebab adanya Pencipta, iaitu Allah s.w.t sebagai sumber segala sebab itu (Prima Causa).

Dan hakikat kejadian alam semesta ini mestilah tertakluk kepada peraturan jangkauan akal, iaitu: Wajib, Mustahil dan Jaiz (mungkin). Wajib pada akal adalah sesuatu yang pasti diterima logik dan tidak dapat ditolak. Manakala mustahil ialah sesuatu perkara yang mesti ditolak oleh akal fikiran. Sedang Jaiz adalah sesuatu yang fikiran mengatakan boleh jadi ada dan berlaku dan boleh jadi tiada dan tidak berlaku. Adapun alam raya yang rapi dan sangat teratur ini akal fikiran tidak dapat menolak, ia telah wujud dan pastilah ada pula yang mewujudkannya (menciptakannya). Itulah Allah Rabbul Alamin. Dan tidaklah masuk akal (logik) jika alam ini terjadi tanpa ada yang menjadikannya.

Maka orang yang menggunakan akal fikirannya dengan sebaik-baiknya pastilah ia akan sampai kepada suatu peringkat untuk Ma'rifatullah, kemudian akan beriman secara bersungguh-sungguh kepada Nya. (Al Jathiyah 45:3-6; Al A'raf 7:85)


AKIBAT BURUK MENAFIKAN PERANAN AKAL FIKIRAN

Ketinggian dan kemuliaan yang diberikan kepada manusia dibanding dengan mahkluk lainnya ialah pada akal fikiran. Apabila manusia tidak menggunakan dan memfungsikannya sebagaimana mestinya maka kedudukannya akan turun hingga taraf yang lebih rendah. (Al A'raf 7:179)

Sesungguhnya orang yang tidak menggunakan akal fikirannya secara terbuka, maka ia akan menjadi penghalang bagi masuknya kebenaran. Dan ia akan menjadi pengekor dan pengikut kebatilan dalam segala aspek kehidupannya. Yang mereka ikuti hanyalah akal orang lain, yang dapat memberi manfaat dunia, sedikit dalam kehidupannya. (Al Baqarah 2:170; Al Maidah 5:104; Lukman 31:21)


PUJIAN BAGI MANUSIA YANG MENGGUNAKAN AKAL FIKIRAN

Orang-orang yang menggunakan akal fikirannya mengikuti kaedah-kaedah yang telah ditetapkan padanya (dengan berfikir berlandaskan Al Quran dan As Sunnah dan tidak mendahulukan pendapat sendiri berbanding pendapat Allah dan Rasulnya), Allah memberikan sanjungan yang tinggi sebagai orang-orang yang mendapat hidayah dan taufiq Allah s.w.t. (Az Zumar 39:17-18) Orang-orang yang memiliki akal fikiran yang waras ialah orang orang yang mempunyai sifat:
1. Selalu memikirkan ciptaan Allah.
2. Selalu berzikir.
3. Banyak berdoa.
(Ali Imran 3:190-194)

0 komentar:

Posting Komentar

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More