This is default featured post 1 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured post 2 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured post 3 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured post 4 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured post 5 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

Tampilkan postingan dengan label Tentang Bersedekah. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label Tentang Bersedekah. Tampilkan semua postingan

Rabu, 17 Agustus 2011

Kelebihan Bersedekah

Bersedekah adalah satu amalan sunat yang sangat dituntut oleh Islam. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: " Tidak akan berkurang harta orang bersedekah". Bersedekah ini boleh dianalogikan seperti kita mengambil air dari perigi atau telaga dengan menggunakan timba. setiap kali kita mengambil air daripada perigi tersebut maka akan digantikan dengan air lain pula tanpa berkurang sedikit pun. Kita harus faham bahawa rezki yang Allah s.w.t berikan kepada kita bukanlah untuk kita seorang sahaja. Sebenarnya kita diamanahkan oleh Allah s.w.t untuk menjaga dan mengagihkan rezki tersebut untuk insan lain juga. Contohnya dalam slip gaji kita ada rezki orang lain. Apabila dapat duit maka kereta kita rosak maka ia adalah rezki orang bengkel, tengah bulan pula anak demam , maka ia rezki doktor, petang jumaat perg pasar malam, maka ia rezki penjaja, nak pergi kerja isi minyak, maka ia rezki pengusaha pam minyak. pegi KL lalu TOL( Tahan Orang Lalu), maka ia rezki PLUS. Sebab itu ulama' berpendapat rezki itu ialah apa yang kita pakai, guna, makan sahaja, adapun duit yang berjuta-juta yang kita sayang nak keluarkan , itu belum tentu duit kita, bila kita mati ia milik orang lain. Harta kita sebenarnya ialah duit yang kita infaq atau sedekah kepada jalan Allah s.w.t sahaja seperti sedekah kepada masjid, anak yatim, fakir miskin dan sebagainya. Ini kerana duit yang telah disedekahkan tersebut akan ditukarkan dalam bentuk pahala yang akan memberikan manfaat kepada kita di alam kubur dan seterusnya di akhirat nanti. Sebab itulah kita akan berkira untuk bersedekah RM10 kepada anak yatim berbanding dengan kita sanggup membelanjakan RM10 untuk meracun diri dengan membeli rokok, ini kerana syaitan akan cuba memujuk kita supaya tidak bersedekah kerana takut jadi papa. Percayalah setiap pagi Allah s.w.t utuskan dua malaikat yang berdoa:" Ya Allah kamu berikanlah ganti harta orang bersedekah dan kamu musnahkanlah harta orang yang bakhil." Orang berniaga yang hendak perniagaannya menjadi maju hendaklah ia bersedekah. Di sini saya akan berikan beberapa kebaikan bagi orang yang bersedekah:
Kebaikan di dunia:
* Membersihkan harta.
* Menyucikan diri kita daripada dosa-dosa kecil. Dosa besar kena taubat.
* Menjauhi diri kita dari bala' dan penyakit.
* Mendatangkan kegembiraan kepada fakir miskin serta mengikis perasaan cemburu mereka kepada orang kaya.
* Allah akan memberkai harta kita dan menambahkan rezki yang kita tidak sangka-sangka.

Kebaikan di Akhirat:
* Sedekah akan menjadi payung atau pelindung kepada tuannya di akhirat.(padang Mahsyar)
* Sedekah akan meringankan kiraan hisab nanti.
* Sedekah akan menambahkan berat timbangan ( Mizan ) kebaikan kita nanti.
* Sedekah boleh mengangkat darjat tuan di syurga nanti.
* Memudahkan kita untuk menyeberangi Titian Sirot.

AMALAN BERSEDEKAH

MARILAH kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah Subhanahu Wataala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertaqwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.

Agama Islam amat menggalakkan kita supaya hidup saling tolong-menolong, bantu-membantu ke arah kebaikan kerana dengan demikian akan menimbulkan perasaan hormat-menghormati, kasih-mengasihi dan sayang-menyayangi di antara satu sama lain. Jika suasana sedemikian wujud di kalangan umat Islam maka akan terbinalah kehidupan yang aman damai, sejahtera dan harmoni. Inilah faktor kekuatan umat Islam. Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Maa-idah ayat 2 yang tafsirnya :

"Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa dan maksiat dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah kerana sesungguhnya Allah maha berat azab seksa-Nya"



Salah satu cara untuk kita melaksanakan konsep tolong-menolong, bantu-membantu ialah dengan bersedekah. Sedekah ialah pemberian semasa hidup kepada seseorang tanpa ada tukar ganti atas dasar semata-mata kerana mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wataala. Dan hukum bersedekah itu adalah sunat. Dalam masyarakat kita, perbuatan bersedekah itu juga diertikan atau disebut sebagai derma atau sumbangan.

Dalam mengerjakan amalan bersedekah, kita perlulah melakukannya dengan hati yang ikhlas kerana Allah Subhanahu Wataala, bukan disebabkan sesuatu seperti kerana nama atau asal bersedekah sahaja. Supaya perbuatan bersedekah itu tidak menjadi sia-sia, agama Islam telah mengajar umatnya bahawa ketika bersedekah, maka biarlah menepati erti sedekah itu sebenarnya. Ke arah itu terdapat tiga perkara yang perlu diikuti bagi kesempurnaan amalan bersedekah itu.

Pertama :

Barang yang disedekahkan itu hendaklah baik dan elok. Adalah tidak wajar dan munasabah andainya benda yang disedekahkan itu jika disedekahkan kepada kita, kita sendiri tidak menyukainya dan tidak rela menerimanya. Biarlah yang disedekahkan itu daripada benda-benda yang disenangi oleh penerimanya. Kerana itulah Allah Subhanahu Wataala melarang bersedekah dengan benda-benda yang tidak baik. Perlu diingat bahawa bersedekah adalah merupakan ibadat dan tanda mensyukuri nikmat yang dianugerahkan Allah Subhanahu Wataala kepada kita. Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Baqarah ayat 267 yang tafsirnya :

"Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah pada jalan Allah sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat, padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu kalau diberikan kepada kamu kecuali dengan memejamkan mata padanya. Dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi sentiasa terpuji".

Kedua :

Sesuatu yang disedekahkan itu hendaklah daripada yang halal, bukan haram atau syubhat.

Ketiga :

Adalah sunat bagi pemberi sedekah atau derma itu bersedekah dan berderma daripada benda-benda yang disukai dan disayanginya. Ini jelas sebagaimana firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Ali 'Imran ayat 92 yang tafsirnya :

"Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai hakikat kebajikan dan kebaktian yang sempurna sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahuinya".

Ingatlah jika kita benar-benar mahu amalan sedekah kita menepati kehendak bersedekah, maka setentunya tiga perkara yang disebutkan tadi perlu ada pada benda-benda yang disedekahkan walaupun hanya sedikit kerana bukan sedikit atau banyak yang menjadi ukuran.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya :

"Dari Adiyie bin Hatim Radiallahuanhu berkata : Saya mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Takutlah kamu akan api Neraka walaupun dengan separuh buah kurma".(Riwayat Al-Imam Al-Bukhari).

Hadis tersebut menunjukkan bahawa amalan bersedekah itu walaupun hanya sedikit dengan separuh buah kurma boleh menyelamatkan kita daripada api Neraka.

Adalah perlu diambil ingatan bahawa jika kita bersedekah, maka hendaklah disertai dengan keikhlasan, bukan dengan mengungkit-ungkit dan menyakiti orang yang menerima sedekah atau derma kerana perbuatan sedemikian hukumnya adalah haram dan merosakkan amalan bersedekah itu. Hal ini ada dijelaskan dalam Al-Quran sebagaimana firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Baqarah ayat 24 yang tafsirnya :

"Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan pahala amalan sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan kelakuan yang menyakiti seperti rosaknya pahala amalan sedekah orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak) dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. Maka bandingan orang itu seperti batu licin yang ada tanah di atasnya kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi). Demikianlah juga halnya orang-orang yang kafir dan riak itu, mereka tidak akan mendapat sesuatu pahala pun dari apa yang mereka usahakan. Dan ingatlah Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir".

Sesungguhnya sedekah yang diberikan secara sembunyi adalah lebih utama dan afdal, ibarat tangan kanan yang memberi, tangan kiri tidak mengetahuinya. Kerana perbuatan itulah yang dekat kepada keikhlasan dan jauh dari perasaan riak. Kerana sifat riak atau sifat menunjuk-nunjuk boleh merosakkan amalan sedekah. Tiada gunanya bersedekah jika mahu mendapat pujian orang dan mahu dikatakan seorang pemurah kerana dengan keikhlasan sahajalah ganjaran pahala akan diperolehi.

Ingatlah wahai kaum Muslimin bahawa amalan bersedekah tidak akan mengurangkan harta, sebaliknya akan menambah harta dan menjauhkan kekurangan dan kesempitan. Mudah-mudahan segala amal perbuatan kita akan mendapat ganjaran daripada Allah Subhanahu Wataala, Amin.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Saba' ayat 39 yang tafsirnya :

"Katakanlah wahai Muhammad sesungguhnya Tuhan-Ku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya dan Ia juga yang menyempitkan baginya dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya dan Dialah jua sebaik-baik pemberi rezeki".

3 Kelebihan Bersedekah

“Dan belanjakanlah ( dermakanlah ) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum sampai ajal maut seseorang dari kamu, ( kalau tidak ) maka ia ( pada saat itu ) akan merayu dengan berkata : Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya jika Engkau lambatkan kedatangan ajalku sekejap lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang yang soleh” ( Al-Munafiquun : 10 )

HURAIAN

Sedekah berasal dari kata shadaqa yang bererti benar. Orang yang suka bersedekah adalah orang yang benar pengakuan imannya. Menurut terminologi syariat, pengertian sedekah sama dengan pengertian infaq iaitu mengeluarkan sebahagian dari harta untuk suatu kepentingan yang diperintahkan Islam. Namun begitu, sedekah memberi maksud yang lebih luas daripada infaq kerana infaq hanya berkaitan dengan material, manakala sedekah merangkumi material dan non-material. Walaupun kebanyakan kalimah sedekah yang disebut dalam Al-Quran membawa maksud berzakat, namun perkara yang diperhatikan adalah bahawa, jika seseorang itu telah berzakat tetapi masih mempunyai kelebihan harta, sangat dianjurkan untuk berinfaq dan bersedekah. Selain daripada sedekah wajib, umat Islam digalakkan memberi sedekah sunat sebagai tanda kesyukuran akan nikmat yang dikurniakan Allah terutamanya nikmat Islam.

PERBANDINGAN SEDEKAH MENURUT AL-QURAN

"Bandingan pemberian orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, sama seperti sebiji benih yang tumbuh mengeluarkan tujuh tangkai, setiap tangkai itu mengandungi 100 biji. Dan ingatlah, Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas ( rahmatNya ) lagi meliputi ilmu pengetahuanNya". ( Al-Baqarah : 261 )

DIPANJANGKAN UMUR & MENCEGAH AJAL YANG BURUK
Maksud sabda Rasulullah saw : "Sesungguhnya sedekah seseorang muslim itu memanjangkan umur dan mencegah dari mati dalam keadaan buruk dan Allah Taala pula menghapuskan sikap sombong dan membangga diri si penderma dengan sebab sedekahnya" ( H.R. Tabrani )

MENOLAK BALA BENCANA
Maksud sabda Nabi saw : "Segeralah kamu bersedekah, kerana bala bencana itu tidak dapat melangkahi sedekah" ( H.R Al-Baihaqi )

SELAGI PELUANG MASIH ADA…
Dari Abu Hurairah r.a katanya : Seorang lelaki menghadap Rasulullah saw lalu bertanya : Wahai Rasulullah! Sedekah mana satu yang lebih besar ? Nabi saw menjawab : Engkau bersedekah ketika sihat dan sangat sayangkan hartamu; ketika engkau takutkan kepapaan dan berharap hendakkan kaya-raya. Janganlah engkau bertangguh untuk bersedekah, sehingga apabila nyawa sampai ke kerongkong, barulah engkau berkata : Aku mahu bersedekah untuk si anu.. sekian untuk si anu dan sekian lagi untuk si anu ( H.R Al-Bukhari )
Nuffnang Ads

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More